Novel ini memaparkan kisah pasangan suami isteri, Kamarudin seorang tentera dan Salmah,yang mempunyai sepasang anak kembar Faridah dan Rahayu. Apabila Kamarudin ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah di Pengkalan Hulu di Perak, dia telah berkahwin dengan Hamidah. Kamarudin diarahkan bertugas sebagai Atase Keselamatan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Pontianak, Indonesia. Di sinilah bermulanya perpisahan pasangan kembar tersebut. Kamarudin telah membawa Rahayu tinggal bersama-samanya, manakala Faridah dijaga oleh Salmah.
Setelah dewasa, Rahayu berkawan
dengan Azrul yang sama-sama belajar di Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Faridah
menjadi Sukarelawan PDK Suria. Rahayu telah dikejarkan ke Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia kerana pengsan di perpustakaan. Rahayu disahkan menghidap
kanser. Faridah pula membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Sebelum
pulang Faridah pergi ke Raub untuk mengisi minyak van dan membeli beberapa
keperluan untuk perjalanan pulang pada pukul 2 petang nanti. Akibat terkejut
dengan kehadiran Iqbal di dalam van, Faridah gagal mengawal pergerakan van, dan
melanggar tembok pengadang jalan lalu menjunam ke dalam gaung. Faridah dan
Iqbal tidak dapat dikesan oleh pasukan penyelamat. Setelah dua minggu usaha
menyelamat gagal, operasi menyelamat dihentikan. Namun, bapanya, Kamarudin dan
rakannya, Buyung berusaha meredah hutan mencari Faridah dan Iqbal. Mereka
dijumpai di perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Faridah dimasukkan ke
hospital yang sama dengan Rahayu dalam keadaan koma. Rahayu melawat Faridah dan
dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Faridah. Selepas kematian
Rahayu dan tamat pengajian di universiti, Azrul berhasrat menjadi penternak
kambing yang berjaya, sebagaimana yang dicita-citakan oleh Rahayu semasa mereka
sama-sama belajar.
Setelah sihat, Faridah berkahwin
dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat bernama Ghazali. Tidak lama kemudian
Salmah, ibu kepada Faridah dan Rahayu meninggal dunia kerana terlalu rindu akan
Rahayu. Selepas itu, Ghazali pula meninggal dunia akibat kemalangan. Kemudian
Faridah ditawarkan mengikuti kursus Community Services for Disable People di
New Zealand selama enam bulan. Di situlah dia berkahwin dengan Soleh Johnsons
dan dia terus menetap di sana. Mereka mendapat sepasang anak kembar, iaitu
Melina dan Anne.
Melina berkenalan dengan Jabbar al –
Anbia atau dikenali sebagai Benny. Secara tidak sengaja, Anne pula bertemu
dengan Zain yang membantunya semasa keretanya rosak. Akhirnya Melina berkahwin
dengan Benny di Masjid al-Noor, Christchurch. Mereka berpindah ke Malaysia
kerana Benny ditugaskan menerajui operasi minyak di situ. Mereka menetap di
Terengganu. Di Malaysia, Benny berkawan baik dengan Mohamed Attar dan Mehmood
yang cenderung mencapai sesuatu matlamat berhubung dengan Islam secara
kekerasan. Muhamed Attar telah ditangkap oleh pihak berkuasa Interpol kerana
disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas. Benny yang bimbang akan keselamatan
dirinya telah melarikan diri ke Dubai dengan bantuan keluarganya.
Faridah dan Soleh pulang ke Malaysia
untuk berbincang tentang perkahwinan Anne dan Zain. Mereka menginap di Cameron
Highlands. Di situlah Faridah mengetahui bahawa Zain ialah anak lelaki bekas
teman lelaki adiknya, arwah Rahayu. Majlis perkahwinan mereka berlangsung
dengan meriah.
Akhirnya, Melina yang sedang sarat mengandung ke
Dubai bersama-sama dengan ayahnya, Soleh untuk berjumpa dengan Benny. Melina
dan Benny menetap di Dubai. Anne dan Zain pula mengambil alih syarikat
penternakan keluarga Johnson di New Zealand. Datuk Azrul dan Soleh Johnsons
membuka perniagaan kotej di Cameron Highlands
Tiada ulasan:
Catat Ulasan